Sunday 24 February 2013

LEBIH 5,500 HADIRI PERASMIAN HIMPUNAN GM1M DI SABAH

TIMBALAN PERDANA MENTERI GEMBIRA DENGAN SAMBUTAN HEBAT DI SABAH


PADAT.... GURU MUDA DARI SABAH DAN WP LABUAN TIDAK MELEPASKAN PELUANG BERHIMPUN BERSAMA TPM DI STADIUM TERTUTUP LIKAS.

LIKAS, SABAH : Himpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) Peringkat Zon Sabah/WP Labuan yang diadakan di Stadium Tertutup Likas, Kota Kinabalu membuktikan program guru muda itu mendapat sambutan yang hebat dari kumpulan guru muda, khususnya di Kepulauan Borneo.

Kira-kira 5,500 guru muda telah berhimpun untuk memeriahkan pelbagai acara himpunan yang disediakan oleh pihak penganjur seperti pameran, persembahan kesenian dan kebudayaan sebelum majlis perasmian oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambutan yang sangat hebat di Sabah itu telah menggembirakan Tan Sri Muhyiddin sendiri yang jelas kelihatan dari wajahnya sejak tiba ke himpunan itu pada jam 11.00 pagi. Beliau telah dibawa melawat ke tapak pameran sebelum merasmikan himpunan guru muda terakhir itu.

Himpunan guru muda di Zon Sabah dan WP Labuan adalah destinasi terakhir dalam siri jelajah ke seluruh negara selepas diadakan di Johor Bahru, Johor pada 13 Oktober 2012, Kota Bharu, Kelantan (8 November 2012), Sabak Bernam, Selangor (26 Januari 2013), Sibu, Sarawak (29 Januari 2013) dan Alor Setar, Kedah (16 Februari 2013).

Saturday 23 February 2013

LENSA GM1M ONLINE DI HIMPUNAN ZON SABAH/WP LABUAN

Pengunjung kiosk GM1M diberi penerangan mengenai Facebook GM1M dan Buletin Guru Muda.

Guru muda bergambar kenangan di sebelah sepanduk Himpunan GM1M Sabah/WP Labuan.

Ketua Teknikal GM1M, Encik Khairul Nizam Hassan (kiri) bergambar bersama Ketua Penggerak Perlis dan Ketua Penggerak Pulau Pinang di Gerbang 1 Malaysia.

Suasana Himpunan GM1M Zon Sabah/WP Labuan

Persembahan muzik tradisional

Guru muda Sabah lengkap berpakaian tradisional.

SUASANA HIMPUNAN DI ZON SABAH/WP LABUAN

LINTAS LANGSUNG HIMPUNAN GURU MUDA 1 MALAYSIA ZON SABAH / WP LABUAN
Stadium Tertutup Likas, Kota Kinabalu
23 Februari 2013 : 11.34 AM
# Gambar dimuat turun dari Facebook GM1M

Wakil GM1M Johor, Cikgu Julnizam Janisan (kiri sekali) bersama guru muda 
dari seluruh negara menanti ketibaan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia 
untuk Sesi Taklimat PPPM Bersama Guru Muda Sabah/Labuan di 
Bilik Mesyuarat SMK Likas.

Ketua Penggerak GM1M Sarawak, Cikgu Dayang Nur Aifa (kanan sekali) bergambar 
kenangan bersama rakan guru muda lain di SMK Likas.

Ketua Penggerak Pulau Pinang (depan berkaca mata) menyambut 
ketibaan KPPM, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Penggerak Guru Muda Sabah/Labuan

Himpunan GM1M Zon Sabah/Labuan mendapat sambutan hebat. 
Terima kasih guru muda yang hadir memberi sokongan kepada GM1M.

PELAJAR SMK LIKAS GEMBIRA BERJUMPA KPPM

PELAJAR BERI RESPON POSITIF MENGENAI PELAKSANAAN PBS DI SEKOLAH

LIKAS, SABAH : Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud menerima respon positif daripada pelajar SMK Likas mengenai pelaksanaan Pentafsiran Berasaskan Sekolah (PBS) sempena kunjungan beliau ke sekolah tersebut bersama rombongan guru muda dari seluruh negara.

Dalam soalan spontan beliau kepada pelajar SMK Likas : "Bagaimana dengan PBS? Adakah ia membebankan?," soal Tan Sri Abd Ghafar.

Secara spontan juga KPPM menerima respon yang dijawab beramai-ramai oleh kumpulan pelajar   yang ditanya : "Tidak, ia menyeronokkan dan memudahkan kerja kami."

Dalam kunjungan itu juga, KPPM telah menanam sebatang anak pokok sebagai tanda kenang-kenangan di bawah Program Sekolah Indah SMK Likas. 

Pelajar SMK Likas beramah mesra bersama Ketua Pengarah 
Pelajaran Malaysia, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud.

Guru dan pelajar SMK Likas bergambar kenang-kenangan 
bersama Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

KPPM SERIKAN PROGRAM SEKOLAH INDAH SMK LIKAS, SABAH

TAN SRI ABD GHAFAR TURUT SAMA MENANAM POKOK SERIKAN SEKOLAH
Oleh Cikgu Husmira - Ketua Penggerak GM1M Kelantan yang hadir bersama rombongan KPPM

LIKAS, SABAH :  SMK Likas hari ini menerima kunjungan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan rombongan Ketua Penggerak Guru Muda 1 Malaysia dari seluruh negara. 

Kunjungan bersejarah itu diserikan dengan Program Sekolah Indah SMK Likas di mana Tan Sri Abd Ghafar menanam anak pokok sebagai tanda kenang-kenangan sempena kunjungan beliau ke sekolah tersebut.

Selepas itu, KPPM dan rombongan mengadakan sesi taklimat mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) kepada kumpulan guru muda dari Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di bilik mesyuarat sekolah tersebut.

TAN SRI ABD GHAFAR MENYIRAM ANAK POKOK YANG DITANAM 
DI SMK LIKAS SEMPENA PROGRAM SEKOLAH INDAH SEKOLAH TERSEBUT.

Dalam taklimatnya, Tan Sri Abd Ghafar menjelaskan mengenai kepentingan PPPM dalam peningkatan kualiti pendidikan di negara kita.

Jelasnya, PPPM juga dilaksanakan bertujuan meningkatkan profesionalisme pendidikan negara ke arah menuju negara maju.


"Guru muda juga  harus menerapkan sikap penyayang khususnya dalam melayani kerenah murid dan dalam masa yang sama kita membimbing mereka menjadi seorang yang cemerlang dalam akademik dan sahsiah diri," katanya lagi.


Menurutnya lagi, guru muda disaran menerapkan penggunakan teknologi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. KPM juga mengharapkan guru-guru dapat berkongsi kaedah pengajaran dan pembelajaran yang terbaik dengan menerbitkannya dalam bentuk video dan dimuat turun ke dalam E-Guru agar dijadikan rujukan bersama di seluruh negara.



KPPM meminta guru muda bersama KPM untuk memacu PPPM ke arah 
kecemerlangan pendidikan negara.

Guru muda dari Sabah, Labuan dan wakil negeri dari seluruh negara 
hadir mendengar taklimat dari KPPM, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud di SMK Likas.

GELOMBANG 1 PPPM 2013-2025 (RINGKASAN)

TAHUKAN ANDA APA YANG BERLAKU DALAM GELOMBANG 1 PPPM 2013 - 2025?
GM1M Online paparkan ringkasan transformasi pendidikan yang akan berlaku dalam Gelombang Pertama. Untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut sila layari 
laman sesawang : http://www.moe.gov.my/userfiles/file/PPP/Preliminary-Blueprint-BM.pdf


KPPM SEDANG TEMUI GM1M SABAH/LABUAN

HIMPUNAN GURU MUDA 1 MALAYSIA ZON SABAH/WP LABUAN
STADIUM TERTUTUP LIKAS, KOTA KINABALU : 9.45 AM

KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA, TAN SRI ABD GHAFAR MAHMUD 
SEDANG MENEMUI GM1M SABAH/WP LABUAN
HADIR SAMA SEMUA WAKIL GM1M SELURUH NEGARA.


ATURCARA DI HIMPUNAN GM1M DI STADIUM LIKAS


7.45 AM
Pendaftaran semua GM1M Sabah dan WP Labuan di kaunter pendaftaran.

8.00 AM - 10.45 AM
GM1M dan pengunjung dijemput melawat dan menyaksikan gerai-gerai pameran dan 
pertunjukan/persembahan di sekitar kawasan himpunan.

10.45 AM
Ketibaan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman.

11.00 AM
Ketibaan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia
Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Muhyiddin Mohd Yassin.

11.05 AM
TPM dan tetamu kehormat melawat gerai pameran.
TPM berehat dan sesi beramah mesra dengan GM1M Sabah/WP Labuan.

12.00 TGH
Majlis Perasmian Himpunan Guru Muda 1 Malaysia Zon Sabah/WP Labuan

Bacaan Doa
Ucapan Ketua Penggerak GM1M Sabah
Ucapan Ketua Menteri Sabah

Ucapan Perasmian oleh 
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia
Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Muhyiddin Mohd Yassin.

Gimik Perasmian GM1M Sabah/WP Labuan
Bacaan Ikrar oleh GM1M Sabah/WP Labuan
Nyanyian Bersama Lagu
Transformasi Pendidikan Negara dan 1 Malaysia

Jamuan Tengahari
Bersurai. 

Terima kasih GM1M Sabah/WP Labuan

16 WAKIL GM1M NEGERI KINI DI SABAH

DIBERI TANGGUNGJAWAB MENGENDALIKAN KIOSK SEKRETARIAT GM1M 

LIKAS, SABAH : Kesemua wakil GM1M negeri diberikan tanggungjawab mengendalikan kiosk pameran Sekretariat GM1M yang akan memaparkan fungsi Guru Muda 1 Malaysia dan produk-produk GM1M seperti facebook rasmi dan Buletin Guru Muda (GM1M Online).

Temui mereka di Himpunan Guru Muda 1 Malaysia Peringkat Zon Sabah/WP Labuan hari ini di Stadium Likas, Kota Kinabalu. Acara telah bermula sejak jam 8.00 pagi tadi. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka tiba jam 10.45 pagi. Turut hadir sama memeriahkan himpunan guru muda di Sabah itu ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman.

SEMUA WAKIL GM1M NEGERI BERGAMBAR KENANGAN DI SABAH.

SMKDUA DAN SKKSAB PERTAHAN KEJUARAAN KRIKET MSSD JOHOR BAHRU

RAMAI PEMAIN NEGERI DAN KEBANGSAAN BERI KELEBIHAN KEPADA SMKDUA
Oleh Cikgu Ahmad Nizam Othman - SK Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor Bahru

JOHOR BAHRU : Kejohanan Kriket MSSD Johor Bahru yang baru melabuhkan tirainya semalam menyaksikan dua pasukan penyandang juara, SMK Datuk Usman Awang (SMKDUA) dan SK Kompleks Sultan Abu Bakar (SKKSAB) berjaya mempertahankan kejuaraan bagi Kategori Lelaki Bawah 18 Tahun dan 12 Tahun tahun ini.

SMKDUA yang diperkuatkan oleh ramai pemain berpengalaman seperti Amin Amanda Nazrul Shah Abdul Karia (B16 Malaysia), Muhammad Fareed Abdul Hadi (Johor) dan Mohamad Hisyam Aqil Rosle (Johor) tidak menghadapi masalah menewaskan Maktab Sultan Abu Bakar pada perlawanan akhir dengan kelebihan 6 wicket.

Tempat ketiga Kategori Lelaki Bawah 18 Tahun pula dimenangi oleh SMK Tanjung Adang selepas menewaskan SMK Taman Universiti 2 dengan kelebihan 155 larian. 

Sementara itu, dalam persaingan Kategori Lelaki Bawah 12 Tahun menyaksikan dua finalis tahun lalu bertemu kembali dengan sekali lagi kemenangan berpihak kepada SKKSAB dengan kelebihan 7 wicket ke atas SK Sungai Danga. Tempat ketiga dimenangi oleh SK Mutiara Rini dan SK Tanjung Adang di tempat keempat.


PENGERUSI TEKNIK KRIKET JOHOR BAHRU, CIKGU ALIAS SOGOK MENYAMPAIKAN 
MEDAL KEMENANGAN KEPADA KETUA PASUKAN SMKDUA, MOHAMAD HISYAM AQIL ROSLE.

KETUA PASUKAN MAKTAB SULTAN ABU BAKAR MENERIMA  SIJIL  PERHARGAAN 
DARIPADA PENGERUSI TEKNIK KRIKET JOHOR BAHRU, CIKGU ALIAS SOGOK.

Thursday 21 February 2013

SEMUA WAKIL NEGERI KE HIMPUNAN GM1M ZON SABAH

HIMPUNAN DI ZON SABAH JUGA MELIBATKAN GM1M DARI LABUAN

KUALA LUMPUR : Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjemput semua 16 Ketua Penggerak Utama ke Himpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) Zon Sabah yang akan diadakan di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 23 Februari ini.

Pegawai dari Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Saiful Effendi Mohd Zahari mengesahkan perkara ini dan berharap himpunan di Zon Sabah nanti akan berjalan dengan kemas dan lancar.

"Hampir semua Ketua Penggerak Negeri akan hadir ke Sabah. Terdapat satu dua negeri yang tidak dapat menghantar ketua mereka, namun diganti oleh penolong ketua penggerak atau wakil masing-masing," katanya lagi yang dipetik melalui Facebook Sekretariat GM1M, semalam.

Tambahnya, dengan kehadiran mereka di Sabah nanti, kita berharap Booth Sekretariat GM1M akan lebih bertenaga dan  padat dengan informasi mengenai peranan guru muda dalam memacu Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 serta memperkenalkan produk seperti Facebook GM1M dan Buletin Guru Muda (gm1monline.blogspot.com).

Menurutnya lagi, himpunan di Zon Sabah itu akan turut menerima kehadiran guru muda dari Wilayah Persekutuan Labuan.

Saturday 16 February 2013

KUMPULAN NSTP EDAR 3000 AKHBAR PERCUMA


KEDAH : Himpunan Guru Muda 1 Malaysia Zon Utara diserikan dengan pengedaran 3,000 naskhah percuma akhbar dari Kumpulan NSTP. Edaran akhbar percuma itu dikendalikan oleh tiga kakitangannya dari Cawangan Alor Setar yang diketuai oleh Jesli Hazizul.

Kakitangan NSTP Alor Setar mengedarkan 3,000 naskhah percuma akhbar terbitan kumpulan itu kepada guru muda yang hadir di Himpunan GM1M Zon Utara.


SIARAN LANGSUNG HIMPUNAN GM1M DARI SMK HUTAN KAMPONG

GM1M Online membawa siaran langsung terus dari Himpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) Zon Utara yang kini sedang meriah di SMK Hutan Kampong, Alor Setar.



Live video for mobile from Ustream

400 GM1M PERAK BERMALAM DI KOLEJ VOKASIONAL SUNGAI PETANI

PENGARAH BPSH KPM DAN TIMBALAN PENGARAH JPN PERAK TEMUI GM1M MALAM TADI

SUNGAI PETANI, KEDAH : Rombongan 400 guru muda Perak yang dibawa khas untuk Himpunan Guru Muda 1 Malaysia Zon Utara telah bermalam di Kolej Vokasional Sungai Petani malam tadi sebelum menyambung perjalanan ke SMK Hutan Kampong di Alor Setar, esok pagi.

Ketua Penggerak Utama GM1M Perak, Cikgu Nor Hafizah Mohammad Hanafi memberitahu GM1M Online, rombongan dari Perak itu telah tiba di Sungai Petani sejak petang tadi (15 Februari 2013). 

"Di sebelah malam, kami berpeluang mengadakan slot khas bersama Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Datuk Haji Mazlan Mohamad yang datang bersama Timbalan Pengarah JPN Perak," jelasnya lagi.

DARI LENSA GM1M ONLINE...

HIMPUNAN GURU MUDA 1 MALAYSIA ZON UTARA
DI SMK Hutan Kampong, Alor Setar
Foto oleh Mohamad Khairul Nizam Abu Hassan (JPN Johor)

Rakan Penggerak GM1M Zon Utara sedang sibuk menyiapkan booth Sekretariat GM1M.


Sepanduk panjang berwarna merah yang tertulis Himpunan GM1M Zon Utara di SMK Hutan Kampong menjadi pemanis di booth Sekretariat GM1M. Di sini, guru muda dan pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai Facebook Rasmi GM1M dan Buletin GM1M Online. 


Raptai berbaris menyambut ketibaan Timbalan Perdana Menteri melibatkan lebih ramai guru muda. 


Pegawai JPN dan KPM berbincang di SMK Hutan Kampong, Alor Setar bagi memperkemaskan lagi  majlis raptai yang bermula jam 3.00 petang, semalam.


CANTIK DAN TERSENDIRI... selepas empat siri jelajah Himpunan GM1M sebelum ini, hanya di SMK Hutan Kampong sahaja kita dapat menyaksikan landskap pentas utama yang lengkap dengan kolam dan air pancuran.


Raptai tarian istimewa dari guru-guru muda Kedah.

Friday 15 February 2013

400 GURU MUDA PERLIS BERANGKAT AWAL PAGI SABTU

GM1M PERLIS HARAP TPM SUDI MENCUBA KERETA SOLAR CIPTAAN MEREKA

PERLIS : Guru muda dari negeri Perlis Indera Kayangan akan bertolak awal pagi Sabtu, 16 Februari 2013 terus ke SMK Hutan Kampong, Alor Setar untuk memeriahkan lagi Himpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) Peringkat Zon Utara yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Ketua Penggerak Utama GM1M Perlis, Cikgu Nor Hamley Hamdah memberitahu GM1M Online, seramai 400 orang guru muda akan di bawa ke Kedah dengan menggunakan bas. Mereka yang hadir nanti dipilih dari sekolah-sekolah dari seluruh negeri Perlis.

"Kami juga membawa sekumpulan guru dari Kolej Vokasional Arau yang akan mempamerkan kereta solar yang dicipta oleh guru muda dari kolej tersebut. Kereta itu adalah ciptaan mereka sendiri dan berharap Timbalan Perdana Menteri akan sudi untuk mencubanya," kata Nor Hamley lagi.

Jelasnya lagi, ini adalah peluang keemasan kepada guru muda Perlis untuk menunjukkan sesuatu yang bermakna kepada Timbalan Perdana Menteri. Kita berharap hajat guru muda negeri ini untuk melihat Timbalan Perdana Menteri mencuba sendiri kereta ciptaan mereka itu akan tercapai.

GM1M PERAK BERTUAH SERTAI DUA HIMPUNAN ZON

PIHAK PENGANJUR PECAHKAN PENYERTAAN GM1M NEGERI ITU KEPADA DUA BAHAGIAN

PERAK : Guru muda dari negeri Perak adalah satu-satunya negeri yang bertuah kerana dapat menyertai Himpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) peringkat zon sebanyak dua kali. 

Senario ini berlaku selepas pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memutuskan negeri itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu Perak Selatan dan Perak Utara. Guru-guru muda dari kawasan Perak Selatan telah dibawa menyertai Himpunan GM1M Peringkat Zon Tengah di SMK Sungai Besar, Sabak Bernam pada 26 Januari 2013 yang lalu.

Buat kedua kalinya, GM1M Negeri Perak yang diketuai oleh Cikgu Nor Hafizah Mohammad Hanafi akan menghantar rombongan guru muda untuk menyertai pula Himpunan GM1M Peringkat Zon Utara. Kali ini, peluang diberikan kepada golongan guru muda yang berada di sebelah kawasan Perak Utara.

Dianggarkan seramai 400 guru muda dari negeri Perak akan di bawa ke Kedah dan merasai sendiri suasana meriah himpunan guru muda yang dianjurkan buat kali kelima di SMK Hutan Kampong, Alor Setar itu nanti. 

PULAU PINANG BAWA 600 GURU MUDA KE KEDAH

PULAU MUTIARA JUGA BAWA INOVASI SUBJEK SAINS DAN MATEMATIK

PULAU PINANG : Seramai 600 guru muda dari seluruh negeri ini akan dibawa ke Himpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) Peringkat Zon Utara di SMK Hutan Kampong, Alor Setar untuk memberi peluang dan ruang kepada mereka menemui sendiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Muhyiddin Mohd Yassin dan mendengar amanat pemimpin kedua negara itu secara langsung.

Ketua Penggerak Utama GM1M negeri itu, Cikgu Adura Shahizan Abdul Razak semasa dihubungi Buletin GM1M Online berkata, ke semua mereka akan berkampung pada hari himpunan dan mengambil bahagian dalam setiap acara yang disediakan oleh tuan rumah.


Cikgu Adura Shahizan Abdul Razak 

"Namun begitu, bagi tujuan raptai dan penyelarasan booth yang diperuntukkan untuk Pulau Pinang, seramai 10 orang wakil akan bergerak terlebih dahulu. Kami akan bertolak jam 9.00 pagi, Jumaat ini," katanya lagi.

Mereka yang akan bergerak awal terdiri daripada lima orang Penggerak Utama GM1M Pulau Pinang, tiga orang petugas Pameran Inovasi Dan Kreativiti serta dua pegawai Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pulau Pinang.


Cikgu Adura Shahizan berkata, pameran inovasi dari negeri itu akan menampilkan keunikan "Permainan Beradu Pantas" bagi subjek Sains yang akan diterangkan sendiri oleh Cikgu Zazolnizam Zakaria dari SK Permatang Tok Mahat.

Kami juga membawa Cikgu Hajjah Masyani Musa dari SK Seri Penanti untuk berkongsi pengalaman beliau mengenai inovasi "Smiling Rainbow" yang berkaitan dengan ilmu matematik.

Pihak JPN Pulau Pinang berharap menerusi dua inovasi yang dibawa ke negeri Kedah itu akan memberi peluang kepada lebih 5,000 guru muda yang hadir untuk menambah ilmu dan berkongsi pengalaman demi meningkatkan lagi kualiti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

SMK HUTAN KAMPUNG DAH SEDIA TERIMA KETIBAAN GM1M ZON UTARA

KHEMAH SUDAH DIPASANG, KERUSI SUDAH DISUSUN
Foto oleh Mohamad Khairul Nizam Abu Hassan

ALOR SETAR, KEDAH : SMK Hutan Kampong sudah bersedia. Persiapan Himpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) Zon Utara sudah masuk ke fasa terakhir apabila semua khemah dan persiapan tempat sudah dipasang sepenuhnya. 

GM1M Online merakamkan foto-foto persiapan untuk tatapan kita bersama.

Bahagian hadapan SMK Hutan Kampong, Alor Setar.

Khemah sudah dipasang...

Ruang dan peralatan asas juga siap untuk dihias dan diisi dengan bahan pameran.

Khemah pameran tersusun indah dan cantik...

Ribuan kerusi, bendera Jalur Gemilang dan kain rentang utama juga sudah dipasang di khemah utama.

Thursday 14 February 2013

ATURCARA PADAT MERIAHKAN HIMPUNAN GM1M DI SMK HUTAN KAMPUNG

BANYAK ACARA MENARIK DISAJIKAN UNTUK PENGUNJUNG YANG HADIR

KEDAH : Pihak penganjur Himpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) Peringkat Zon Utara menyediakan pelbagai acara untuk disertai oleh semua pengunjung yang hadir di SMK Hutan Kampong, Alor Setar pada 16 Februari 2013 nanti.

Menurut Ketua Penggerak Utama GM1M Kedah, Cikgu Razeff Shardin Mat Rejab (SMK Yan) yang menghubungi Buletin GM1M Online melalui facebook baru-baru ini memberitahu antara acara menarik itu adalah sukan dan permainan tradisional yang sesetengahnya sudah tidak dimainkan lagi oleh anak-anak muda seperti permainan tuju tin, timbang bulu ayam, sepak raga bulat, bola jaring, tendang penalti, dam, karom, dart, golf, boling bola segar dan paintball.

"Kita memahami bahawa ribuan guru muda yang hadir dari empat buah negeri di Utara Semenanjung mengharapkan sesuatu yang menarik di sepanjang hari himpunan itu diadakan," tambahnya lagi.

Katanya, pengunjung juga digalakkan mengunjungi kiosk pameran dari pelbagai unit dan agensi antaranya pameran kreativiti dan inovasi, pembangunan kerjaya guru, telekomunikasi dan teknologi maklumat,  Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Gerai IM4U.

Pihak Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri di Zon Utara dan Kementerian Pelajaran Malaysia juga mempunyai kiosk pameran masing-masing. Turut diadakan nanti adalah gerai masakan dan makanan yang pastinya memperkenalkan kelazatan masakan utara.

Menurut Cikgu Razeff lagi, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan tiba pada jam 10.00 pagi dan akan disambut oleh beliau sendiri bersama tiga lagi Ketua Penggerak Utama GM1M dari negeri Perlis, Perak dan Pulau Pinang. 

Selepas dibawa mengunjungi kiosk pameran dan menyaksikan permainan tradisional, Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia dijadualkan akan mengadakan sesi dialog bersama guru-guru muda di Zon Utara sebelum merasmikan Himpunan GM1M selepas itu.

Menurut Cikgu Razeff lagi, semua guru muda yang hadir diminta mendaftarkan diri terlebih dahulu di kaunter pendaftaran yang akan dibuka seawal jam 7.30 pagi. 

Sementara menantikan ketibaan Timbalan Perdana Menteri yang disayangi, guru muda yang hadir juga boleh menyaksikan Forum Guru Muda dan persembahan kesenian serta kebudayaan yang dikendalikan sendiri oleh kumpulan guru muda dari negeri Kedah.

Wednesday 13 February 2013

RAPTAI HIMPUNAN GM1M ZON UTARA DIADAKAN PETANG JUMAAT

SEMUA EMPAT KETUA PENGGERAK NEGERI DI ZON UTARA DIJANGKA HADIR 

KEDAH : GM1M Zon Utara kini sedang rancak membuat persiapan akhir menjelang Himpunan Guru Muda 1 Malaysia Peringkat Zon Utara yang akan diadakan di SMK Hutan Kampong di Alor Setar, Kedah pada 16 Februari 2013.

Penolong Ketua Penggerak GM1M Kedah, Cikgu Ramli Mohamad Saad berkata, pihaknya sangat berterima kasih kepada Jabatan Pelajaran Negeri Kedah yang sejak dari awal lagi menunjukkan kesungguhan untuk menjadikan penganjuran himpunan guru muda di negeri ini paling cemerlang dari empat himpunan sebelum ini.

Cikgu Ramli Mohamad Saad bersama Ketua Penggerak Utama GM1M Kedah, Cikgu Razeff Shardin Mat Rejab.

"Kami dihantar ke Himpunan GM1M Zon Tengah di Selangor pada 26 Januari lalu untuk melihat sendiri persiapan dan suasana perhimpunan di sana. Segala yang baik kami bawa ke Zon Utara dan ditambah lagi dengan beberapa kelainan yang tiada di himpunan negeri lain," jelasnya lagi.

Menurut Cikgu Ramli lagi, bagi memantapkan perjalanan Himpunan GM1M Zon Utara kali ini, satu acara raptai akan diadakan pada hari Jumaat, 15 Januari 2013 bermula jam 3 petang di SMK Hutan Kampung. 

Katanya lagi, semua Ketua Penggerak GM1M dari empat buah negeri yang berada dalam Zon Utara iaitu dari negeri Kedah, Pulau Pinang, Perlis dan Perak dijemput hadir bersama timbalan masing-masing.

"Persiapan di kiosk pameran pula akan bermula di sebelah pagi dan dijangka berlarutan sehingga sesi raptai diadakan di sebelah petang," tambahnya lagi.

TERIMA KASIH GM1M SARAWAK

HIMPUNAN GM1M ZON SARAWAK BERI KEPUASAN KEPADA  GURU MUDA DI PEDALAMAN




SIBU, SARAWAK : Kemuncak Himpunan Guru Muda 1 Malaysia Zon Sarawak cukup meriah dan penuh bermakna khususnya kepada rakan-rakan guru muda di kawasan pedalaman yang dijemput hadir dari 31 PPD yang berada di negeri terluas di Malaysia itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan wajah ceria dan berbangga dengan sambutan yang diberikan dan menganggap himpunan di negeri itu sebagai yang terbaik dan penuh bermakna. Himpunan di SMK Sacred Heart, Sibu itu turut dihadiri oleh   Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Encik Abdillah Adam.

Terima kasih Sarawak. Terima kasih semua.

Tuesday 5 February 2013

LAGU TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA (KLIP VIDEO)

KPM GALAK NYANYIKAN LAGU BARU ITU DALAM MAJLIS RASMI

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memperkenalkan sebuah lagu baru bertajuk Transformasi Pendidikan Negara sempena Majlis Perutusan Tahun Baru KPM 2013 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), 10 Januari lalu.

Lagu yang menggunakan paduan suara dua bintang Akademi Fantasia, Stacy dan Hafiz itu telah diperdengarkan buat kali pertama secara langsung di hadapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua hadirin yang memenuhi PICC hari itu.

KPM berharap lagu itu akan menjadi lagu utama dinyanyikan pada majlis-majlis rasmi yang dianjurkan oleh bahagian dan agensi KPM, Jabatan Pelajaran Negeri, Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah. 

Irama dan lirik lagu Transformasi Pendidikan Negara yang mantap dan penuh bermakna itu juga telah dikumandangkan menerusi klip video di SMK Sacred Heart, Sibu sempena Himpunan Guru Muda 1 Malaysia Zon Sarawak. Nyata sekali Guru Muda 1 Malaysia di Sarawak sangat meminati lagu tersebut, lebih-lebih lagi ia didendangkan oleh anak bumi kenyalang sendiri (Hafiz).

GM1M Online catatkan di sini pautan untuk memuat turun lagu itu melalui laman sesawang http://www.moe.gov.my.

Tuesday 29 January 2013

SESI SOAL JAWAB GM1M SARAWAK BERSAMA TIMBALAN PERDANA MENTERI

JAWAPAN TPM UNTUK GURU MUDA
HIMPUNAN GURU MUDA 1 MALAYSIA (GM1M) ZON SARAWAK
LAPORAN LANGSUNG DARI BILIK WAWASAN, SMK SACRED HEART, SIBU
29 Januari 2013 : 3.00 PM


KEHADIRAN SESI SOAL JAWAB BERSAMA TPM : 31 GURU MUDA DARI 31 PPD

Tan Sri Muhyiddin berdialog bersama 31 wakil guru muda.

RINGKASAN SOALAN 1 : Memohon kerajaan memberikan dana khas kepada GM1M untuk meneruskan agenda memacu PPPM dan menggerakkan aktiviti di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan seterusnya selepas himpunan guru muda.

JAWAPAN TPM : Permohonan boleh dipertimbangkan dan akan dibincangkan selepas ini kerana kita ingin lihat dahulu 'framework'nya. Kita faham ada banyak idea dari guru muda dan memerlukan peruntukan untuk bergerak. 

RINGKASAN SOALAN 2 : Memohon kerajaan meluaskan peluang belajar kepada guru muda ke luar negara.

JAWAPAN TPM : Kerajaan memang menyokong usaha ini, sememangnya lebih pandai guru itu adalah lebih baik. Lebih ramai guru yang pakar lebih baik. Kita sentiasa menggalakkan guru terus belajar. Daripada ada ijazah pertama kita sambung ambil sarjana dan sebagainya. Permohonan ini akan kita panjangkan.

RINGKASAN SOALAN 3 : Mencadangkan pihak kementerian melindungi guru di pedalaman dengan skim insurans perlindungan yang sesuai.

JAWAPAN TPM : Cadangan ini sangat bagus. Kita boleh panjangkan cadangan guru muda ini sebagai satu insentif baru kepada guru pedalaman. Hanya untuk pedalaman. Kita akan bincangkan di peringkat kementerian selepas ini.

RINGKASAN SOALAN 4 : Memohon pihak kementerian membantu sekolah pedalaman yang kekurangan guru pakar. Ramai guru baru ditempatkan di pedalaman, mereka kurang pengalaman. Justeru, kami memohon guru pakar untuk datang membantu, contohnya ditempatkan sebulan di sekolah untuk membimbing guru muda yang kurang pengalaman.

JAWAPAN TPM : Perkara ini juga dibincangkan dalam PPPM 2013-2025 berhubung sokongan kepakaran kepada guru yang baru atau kurang berpengalaman. Cadangan itu akan dipanjangkan untuk tindakan selanjurnya oleh pihak kementerian.

RINGKASAN SOALAN 5 : Memohon kerajaan membantu sekolah yang ramai pelajar Cina di mana kelemahan Bahasa Melayu amat ketara.

JAWAPAN TPM : Pihak kementerian telah mendedahkan mengenai perkara ini dalam PPPM dan ada pihak yang berpandangan kelas peralihan perlu diteruskan dan kita kekalkan sistem kurikulum sedia ada di Sekolah Jenis Kebangsaan. Namun begitu, kita akan sentiasa mengikuti perkembangan ini, mungkin kelas pemulihan boleh diberi fokus bagi membantu pelajar yang bermasalah Bahasa Melayu ini.

# GM1M Online hanya memetik ringkasan soalan dan jawapan bagi memberikan input yang lebih pantas kepada Guru Muda semua.

TAN SRI MUHYIDDIN TEMUI GURU MUDA PEDALAMAN

LAPORAN LANGSUNG HIMPUNAN GURU MUDA 1 MALAYSIA ZON SARAWAK
DARI SMK SACRED HEART, SIBU, 29 Januari 2013 : 2.30 PM

SIBU, SARAWAK : Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tiba di SMK Sacred Heart, Sibu bersama Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud tepat jam 2.30 petang tadi. Turut sama hadir ialah Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Encik Abdillah Adam.


Tan Sri Muhyiddin menerima penerangan mengenai Stesen Maya 
dari Ketua Penggerak GM1M Sarawak, Cikgu Dayang Noraifa Awang Azid.

Himpunan GM1M Zon Sarawak ini akan menemukan Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia dengan lebih 3,000 guru muda di negeri ini yang kebanyakannya didatangkan khas dari daerah pedalaman. 

Perhimpunan guru muda ini menunjukkan keprihatinan pihak KPM dan kerajaan terhadap kebajikan guru muda yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk mencurah bakti kepada rakyat Malaysia di kawasan perkampungan di pedalaman, khususnya di negeri bumi kenyalang ini.

Sebagai menghargai pengorbanan itu, satu sesi pertemuan telah disusun antara Timbalan Perdana Menteri bersama 31 orang GM1M  yang terpilih mewakili seluruh guru muda di negeri Sarawak. 

Pertemuan itu diadakan di Bilik Wawasan SMK Sacred Heart sementara menantikan Majlis Perasmian Himpunan Guru Muda 1 Malaysia Zon Sarawak. Ini adalah penghargaan kepada golongan guru muda dan kesempatan ini akan memberi peluang kepada wakil guru muda untuk mengutarakan beberapa soalan secara santai kepada Tan Sri Muhyiddin.

Ketibaan Tan Sri Muhyiddin telah disambut oleh Ketua Penggerak GM1M Sarawak, Cikgu Dayang Noraifa Awang Azid. Himpunan guru muda ini adalah yang keempat selepas tiga himpunan peringkat zon di Selangor, Kelantan dan Johor.