Friday 31 July 2015

JPN JOHOR LATIH PENULIS BLOG GM1MONLINE

BENGKEL PENULISAN TURUT DIHADIRI 60 GM1M DARI SELURUH NEGERI JOHOR
Oleh Cikgu Julnizam Janisan, SMK Desa Skudai (PPD Johor Bahru)

KULAIJAYA : Seramai 60 guru seluruh negeri telah menghadiri Bengkel Penulisan Blog Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) di Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan Bandar Tenggara pada 30 dan 31 Julai 2015 bagi melahirkan lebih ramai penulis di kalangan guru muda yang aktif di blog rasmi GM1Monline.

Pegawai Meja GM1M Johor, Nazarudin Selamat berkata perbengkelan kali pertama yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri Johor itu adalah satu usaha mendidik kumpulan guru muda di negeri ini sebagai penulis blog dan juga media lain seperti facebook dengan berhemah.

"Kita berharap selepas perbengkelan ini, guru muda dari negeri Johor akan menyumbang lebih banyak artikel dan bahan untuk blog GM1Monline bagi menyebar luaskan aktiviti-aktiviti guru muda di negeri ini ke seluruh dunia," jelasnya lagi.

Perbengkelan itu dikendalikan oleh Mantan Ketua GM1M Kebangsaaan, Cikgu Alias Sogok dan Ketua Unit Maklumat JPNJ, Mohamad Khairul Nizam Abu Hassan.

Dalam sesi perbengkelan itu, Cikgu Ali Asyraf Mohamed dari SMK Tasek Utara, Johor Bahru telah dilantik sebagai Ketua Editor Negeri sambil dibantu oleh Cikgu Mohamad Rahziz Lokman (SMK Bandar Putra, Segamat) dan Cikgu Norilfairuz Abdullah (SMK Sri Tanjung, Pontian) sebagai Penolong Ketua Editor.  

Ketua Editor GM1Monline Johor, Cikgu Ali Asyraf Mohamed sedang menyunting 
bahan berita untuk dimasukkan ke dalam laman sesawang rasmi GM1M 
sambil diperhatikan oleh Mohd Hafizan Ismail dari SMK Convent Muar.