Thursday, 14 February 2013

ATURCARA PADAT MERIAHKAN HIMPUNAN GM1M DI SMK HUTAN KAMPUNG

BANYAK ACARA MENARIK DISAJIKAN UNTUK PENGUNJUNG YANG HADIR

KEDAH : Pihak penganjur Himpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) Peringkat Zon Utara menyediakan pelbagai acara untuk disertai oleh semua pengunjung yang hadir di SMK Hutan Kampong, Alor Setar pada 16 Februari 2013 nanti.

Menurut Ketua Penggerak Utama GM1M Kedah, Cikgu Razeff Shardin Mat Rejab (SMK Yan) yang menghubungi Buletin GM1M Online melalui facebook baru-baru ini memberitahu antara acara menarik itu adalah sukan dan permainan tradisional yang sesetengahnya sudah tidak dimainkan lagi oleh anak-anak muda seperti permainan tuju tin, timbang bulu ayam, sepak raga bulat, bola jaring, tendang penalti, dam, karom, dart, golf, boling bola segar dan paintball.

"Kita memahami bahawa ribuan guru muda yang hadir dari empat buah negeri di Utara Semenanjung mengharapkan sesuatu yang menarik di sepanjang hari himpunan itu diadakan," tambahnya lagi.

Katanya, pengunjung juga digalakkan mengunjungi kiosk pameran dari pelbagai unit dan agensi antaranya pameran kreativiti dan inovasi, pembangunan kerjaya guru, telekomunikasi dan teknologi maklumat,  Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dan Gerai IM4U.

Pihak Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri di Zon Utara dan Kementerian Pelajaran Malaysia juga mempunyai kiosk pameran masing-masing. Turut diadakan nanti adalah gerai masakan dan makanan yang pastinya memperkenalkan kelazatan masakan utara.

Menurut Cikgu Razeff lagi, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadualkan tiba pada jam 10.00 pagi dan akan disambut oleh beliau sendiri bersama tiga lagi Ketua Penggerak Utama GM1M dari negeri Perlis, Perak dan Pulau Pinang. 

Selepas dibawa mengunjungi kiosk pameran dan menyaksikan permainan tradisional, Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia dijadualkan akan mengadakan sesi dialog bersama guru-guru muda di Zon Utara sebelum merasmikan Himpunan GM1M selepas itu.

Menurut Cikgu Razeff lagi, semua guru muda yang hadir diminta mendaftarkan diri terlebih dahulu di kaunter pendaftaran yang akan dibuka seawal jam 7.30 pagi. 

Sementara menantikan ketibaan Timbalan Perdana Menteri yang disayangi, guru muda yang hadir juga boleh menyaksikan Forum Guru Muda dan persembahan kesenian serta kebudayaan yang dikendalikan sendiri oleh kumpulan guru muda dari negeri Kedah.

No comments:

Post a Comment