Tuesday, 29 January 2013

SESI SOAL JAWAB GM1M SARAWAK BERSAMA TIMBALAN PERDANA MENTERI

JAWAPAN TPM UNTUK GURU MUDA
HIMPUNAN GURU MUDA 1 MALAYSIA (GM1M) ZON SARAWAK
LAPORAN LANGSUNG DARI BILIK WAWASAN, SMK SACRED HEART, SIBU
29 Januari 2013 : 3.00 PM


KEHADIRAN SESI SOAL JAWAB BERSAMA TPM : 31 GURU MUDA DARI 31 PPD

Tan Sri Muhyiddin berdialog bersama 31 wakil guru muda.

RINGKASAN SOALAN 1 : Memohon kerajaan memberikan dana khas kepada GM1M untuk meneruskan agenda memacu PPPM dan menggerakkan aktiviti di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan seterusnya selepas himpunan guru muda.

JAWAPAN TPM : Permohonan boleh dipertimbangkan dan akan dibincangkan selepas ini kerana kita ingin lihat dahulu 'framework'nya. Kita faham ada banyak idea dari guru muda dan memerlukan peruntukan untuk bergerak. 

RINGKASAN SOALAN 2 : Memohon kerajaan meluaskan peluang belajar kepada guru muda ke luar negara.

JAWAPAN TPM : Kerajaan memang menyokong usaha ini, sememangnya lebih pandai guru itu adalah lebih baik. Lebih ramai guru yang pakar lebih baik. Kita sentiasa menggalakkan guru terus belajar. Daripada ada ijazah pertama kita sambung ambil sarjana dan sebagainya. Permohonan ini akan kita panjangkan.

RINGKASAN SOALAN 3 : Mencadangkan pihak kementerian melindungi guru di pedalaman dengan skim insurans perlindungan yang sesuai.

JAWAPAN TPM : Cadangan ini sangat bagus. Kita boleh panjangkan cadangan guru muda ini sebagai satu insentif baru kepada guru pedalaman. Hanya untuk pedalaman. Kita akan bincangkan di peringkat kementerian selepas ini.

RINGKASAN SOALAN 4 : Memohon pihak kementerian membantu sekolah pedalaman yang kekurangan guru pakar. Ramai guru baru ditempatkan di pedalaman, mereka kurang pengalaman. Justeru, kami memohon guru pakar untuk datang membantu, contohnya ditempatkan sebulan di sekolah untuk membimbing guru muda yang kurang pengalaman.

JAWAPAN TPM : Perkara ini juga dibincangkan dalam PPPM 2013-2025 berhubung sokongan kepakaran kepada guru yang baru atau kurang berpengalaman. Cadangan itu akan dipanjangkan untuk tindakan selanjurnya oleh pihak kementerian.

RINGKASAN SOALAN 5 : Memohon kerajaan membantu sekolah yang ramai pelajar Cina di mana kelemahan Bahasa Melayu amat ketara.

JAWAPAN TPM : Pihak kementerian telah mendedahkan mengenai perkara ini dalam PPPM dan ada pihak yang berpandangan kelas peralihan perlu diteruskan dan kita kekalkan sistem kurikulum sedia ada di Sekolah Jenis Kebangsaan. Namun begitu, kita akan sentiasa mengikuti perkembangan ini, mungkin kelas pemulihan boleh diberi fokus bagi membantu pelajar yang bermasalah Bahasa Melayu ini.

# GM1M Online hanya memetik ringkasan soalan dan jawapan bagi memberikan input yang lebih pantas kepada Guru Muda semua.

TAN SRI MUHYIDDIN TEMUI GURU MUDA PEDALAMAN

LAPORAN LANGSUNG HIMPUNAN GURU MUDA 1 MALAYSIA ZON SARAWAK
DARI SMK SACRED HEART, SIBU, 29 Januari 2013 : 2.30 PM

SIBU, SARAWAK : Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tiba di SMK Sacred Heart, Sibu bersama Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud tepat jam 2.30 petang tadi. Turut sama hadir ialah Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Encik Abdillah Adam.


Tan Sri Muhyiddin menerima penerangan mengenai Stesen Maya 
dari Ketua Penggerak GM1M Sarawak, Cikgu Dayang Noraifa Awang Azid.

Himpunan GM1M Zon Sarawak ini akan menemukan Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia dengan lebih 3,000 guru muda di negeri ini yang kebanyakannya didatangkan khas dari daerah pedalaman. 

Perhimpunan guru muda ini menunjukkan keprihatinan pihak KPM dan kerajaan terhadap kebajikan guru muda yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk mencurah bakti kepada rakyat Malaysia di kawasan perkampungan di pedalaman, khususnya di negeri bumi kenyalang ini.

Sebagai menghargai pengorbanan itu, satu sesi pertemuan telah disusun antara Timbalan Perdana Menteri bersama 31 orang GM1M  yang terpilih mewakili seluruh guru muda di negeri Sarawak. 

Pertemuan itu diadakan di Bilik Wawasan SMK Sacred Heart sementara menantikan Majlis Perasmian Himpunan Guru Muda 1 Malaysia Zon Sarawak. Ini adalah penghargaan kepada golongan guru muda dan kesempatan ini akan memberi peluang kepada wakil guru muda untuk mengutarakan beberapa soalan secara santai kepada Tan Sri Muhyiddin.

Ketibaan Tan Sri Muhyiddin telah disambut oleh Ketua Penggerak GM1M Sarawak, Cikgu Dayang Noraifa Awang Azid. Himpunan guru muda ini adalah yang keempat selepas tiga himpunan peringkat zon di Selangor, Kelantan dan Johor.

KPPM LAKUKAN LAWATAN AWAL KE GERAI PAMERAN

HIMPUNAN GURU MUDA 1 MALAYSIA (GM1M) ZON SARAWAK
LAPORAN LANGSUNG DARI SMK SACRED HEART, SIBU
29 Januari 2013 : 11.58 am


SARAWAK : Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud membuat tinjauan awal ke tapak  Himpunan GM1M Zon Sarawak, sebentar tadi. Kehadiran beliau disambut dengan mesra oleh guru-guru muda bersama pegawai JPN dan PPD di Sarawak.

Beliau turut membuat lawatan awal ke gerai-gerai pameran bagi melihat perkembangan persiapan akhir. Timbalan Perdana Menteri dijadualkan tiba di SMK Sacred Heart, Sibu pada jam 2.30 petang bagi merasmikan himpunan guru muda yang dianjurkan buat kali keempat di bumi kenyalang ini.

Ketibaan Tan Sri Abd Ghafar disambut oleg guru muda Sarawak. 

Menjamu selera bersama guru muda Sarawak.

TERAJU UTAMA KIOSK GM1M SARAWAK

HIMPUNAN GURU MUDA 1 MALAYSIA (GM1M) ZON SARAWAK
LAPORAN LANGSUNG DARI SMK SACRED HEART, SIBU
29 Januari 2013 : 10.22 am

SARAWAK : Kiosk GM1M  bakal menjadi destinasi pertama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam laluan lawatannya ke gerai-gerai pameran di Himpunan GM1M Zon Sarawak hari ini.

Kiosk ini akan diurus selia oleh lima guru muda yang cantik dan tampan dari Sarawak antaranya Cikgu Awang Zaini Awang Noh, Cikgu Goh Yee Chung, Cikgu Ahmad Adlie, Cikgu Chia @ Chea Nguk Fah dan Cikgu Liong Yu Min.

Antara aktiviti yang disediakan di Kiosk GM1M ini ialah penerangan tentang Facebook GM1M, Buletin Guru Muda - GM1M Online dan Stesen Maya Sekretariat GM1M. Buletin GM1M Online juga akan sentiasa dikemaskini di Kiosk GM1M ini.

Petugas di Kiosk GM1M sedang sibuk membuat persiapan akhir.

Petugas GM1M Sarawak bergambar bersama 
Ketua Penggerak GM1M Johor dan Kelantan.

Ketua Penggerak GM1M Johor, Cikgu Alias Sogok sedang mengemaskini 
Buletin GM1M Online untuk laporan langsung dari Sarawak. Kelihatan di belakangnya, Cikgu Husmira Hussin (Ketua Penggerak GM1M Kelantan) yang sedang mengemaskini montaj perasmian buat kali terakhir. 

PENGARAH JPN SARAWAK JUMPA PENGGERAK GM1M

PERBINCANGAN AKHIR SEBELUM ACARA SEBENAR DI SEBELAH PETANG
29 Januari 2013 : 9.15 AM

Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Encik Abdillah Adam sedang mengadakan perbincangan akhir dengan Penggerak GM1M dan guru muda di negeri ini pada sebelah pagi bagi membincangkan persiapan akhir sebelum acara sebenar di sebelah petang.

Dalam pesanannya, Abdillah meminta guru muda yang berpeluang mengadakan sesi soaljawab bersama Timbalan Perdana Menteri nanti dapat menggunakan kesempatan yang ada dengan baik dan menjaga nama baik guru muda di negeri ini.

Pesanan Pengarah JPN Sarawak.

Ketua Penggerak GM1M Sarawak khusyuk mendengar 
pesanan dari Pengarah JPN Sarawak.

Pengarah JPN Sarawak bersalaman bersama guru 
muda di Bilik Mesyuarat SMK Sacred Heart, Sibu.

Monday, 28 January 2013

TIMSS DAN PISA BUKTIKAN ADA SEKOLAH KITA YANG BAIK DAN SANGAT BAIK

Walaupun prestasi Malaysia sebagai satu sistem dalam pentaksiran antarabangsa tidak sebaik yang diharapkan, analisis taburan skor mengikut sekolah menunjukkan terdapatnya sekolah yang layak untuk kajian lanjut dan replikasi (Ekshibit 3-16).

Sekolah tersebut mencapai band prestasi Baik atau Sangat Baik pada standard antarabangsa. Dalam pentaksiran TIMSS 2007, sebagai contoh, 11% sekolah berada dalam band “Sangat Baik”, sementara 30% lagi dalam band “Baik”. Dalam pentaksiran PISA 2009+, 7% sekolah berada dalam band “Baik”.

Kementerian juga mempunyai dua jenis anugerah khas bagi mengiktiraf sekolah berprestasi cemerlang, iaitu Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan Sekolah Kluster. Kementerian telah memilih 66 SBT di seluruh negara, yang diberi hak membuat keputusan (dan akauntabiliti) untuk mengekalkan prestasi dan membolehkan pengetua/ guru besar bagi terus meningkatkan tahap prestasi mereka (Ekshibit 3-17). Sekolah Kluster berjumlah 170 buah di seluruh negara. 

# Petikan Laporan Awal PPPM 2013-2025

PENGARAH SARAWAK BAKAR SEMANGAT GURU MUDA

JADIKAN HIMPUNAN GM1M ZON SARAWAK YANG TERBAIK

SARAWAK : Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Encik Abdillah Adam menyeru semua guru muda di negeri ini menunjukkan hasil kerja yang terbaik dengan menjadikan Himpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) Peringkat Zon Sarawak yang bakal berlangsung esok di Dewan Centenary SMK Sacred Heart di Sibu sebagai penganjuran yang terbaik.


Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak memberi kata-kata semangat 
kepada Guru Muda 1 Malaysia Sarawak.

Semasa berucap sebelum acara raptai penuh kepada kumpulan guru muda dan pegawai yang bertanggungjawab dalam penganjuran himpunan guru muda di Sarawak ini, Abdillah mahu guru muda negeri ini menunjukkan sesuatu yang hebat kepada pemimpin kita yang hadir khususnya Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Menteri Sarawak dan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

"Guru muda perlu kuat semangat, lantang semasa membaca ikrar dan dapat mengurus perhimpunan di negeri ini dengan baik. Tunjukkan kepada pemimpin kita bahawa guru-guru muda di Sarawak bertenaga dan bersemangat tinggi," katanya lagi.

Himpunan GM1M Zon Sarawak adalah himpunan kali keempat dari enam siri himpunan yang dirancang di seluruh negara. Himpunan ini telah diadakan di Johor pada 13 Oktober 2012, Kelantan (8 November 2012) dan Selangor (26 Januari 2013).

HIMPUNAN ZON SARAWAK DI SMK SACRED HEART

LENSA GM1M Online...
Lokasi : SMK Sacred Heart, Sibu 
Isnin, 28 Januari 2013 : 11.58 am


Sekolah Menengah Kebangsaan Sacred Heart (M) atau nama ringkasnya SMK Sacred Heart (M), merupakan sebuah sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Km 3, Jalan Oya, Peti Surat 99.
# Web Sekolah : www.shssibu.com
Khemah siap dipasang sejak dua hari lepas lagi.

Pintu hadapan..

Dewan Centenary SMK Sacred Heart yang dibina melalui sumbangan orang ramai. 

Bangunan sekolah.

KHEMAH SIAP DIPASANG, DEWAN SIAP DIKEMAS

JPN SARAWAK BERSEDIA TERIMA KEHADIRAN 4,000 GURU MUDA
Lokasi : SMK Sacred Heart, Sibu : 5.34 pm

SARAWAK : Demi memastikan Himpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) Zon Sarawak menjadi sambutan yang terbaik, pelbagai usaha telah dilakukan oleh negeri itu sejak beberapa hari lalu untuk memastikan  himpunan di SMK Sacred Heart, Sibu itu berjalan dengan lancar. 

Naib Presiden Kelab Guru Sarawak, Cikgu Tan Kuang Wui yang 
bertanggungjawab mengenai pengurusan khemah menyambut 
kedatangan pegawai KPM yang membuat tinjauan semalam. 

Cikgu Rahim dari SK Abang Ali, Sibu sedang sibuk menyiapkan 
hiasan dan menyediakan keperluan pameran di gerainya.


Kehadiran kami telah disambut oleh Cikgu Tan Kuang Wui, seorang Guru Besar di SK SEDC, Sibu yang bertanggungjawab memastikan pemasangan khemah dan persiapan tempat berjalan dengan baik. Beliau juga merupakan Naib Presiden Kesatuan Guru Sarawak. 

“Khemah yang dipasang di luar dewan digunakan gerai pameran, inovasi, permainan tradisional dan kiosk utama GM1M. Antara permainan tradisional yang akan Zon Sarawak sajikan ialah menyumpit,  kaki hantu, anyaman, tarian, karom dan banyak lagi," katanya.

Sunday, 27 January 2013

PETIKAN UTUSAN PPPM DARI PM

YAB DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
Pendidikan ialah penyumbang utama pembangunan modal sosial dan ekonomi negara. Pendidikan juga merupakan pencetus kreativiti dan penjana inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja, dan menjadi pengupaya perkembangan ekonomi keseluruhannya.

Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu memastikan sistem pendidikan negara berfungsi secara berkesan untuk menjayakan Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaan yang menjadi asas perkembangan ekonomi negara dalam persaingan ekonomi global.

Petikan dari Laporan Awal PPPM 2013 - 2025

PETIKAN UTUSAN PPPM DARI TPM

YAB TAN SRI DATO’ HJ. MUHYIDDIN HJ. MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA

Kerajaan komited melaksanakan transformasi sistem pendidikan negara untuk tempoh 15 tahun akan datang. Transformasi pendidikan ini bermatlamat melengkapkan setiap murid di negara kita dengan segala kemahiran baharu yang diperlukan oleh mereka untuk merebut peluang dan menangani cabaran abad ke-21.

Dalam usaha kita untuk bersaing dengan negara termaju di dunia, sistem pendidikan kita perlu berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran kepimpinan yang mantap dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global.

Tidak kurang pentingnya, setiap murid di negara kita perlu diterapkan dengan nilai, etika dan rasa tanggungjawab sebagai warganegara, agar mereka dapat membuat pilihan yang tepat untuk diri mereka, keluarga dan negara, serta berupaya mengharungi dan mengatasi cabaran masa depan.

Petikan dari Laporan Awal PPPM 2013 - 2025

PETIKAN UTUSAN PPPM DARI KPPM

Y. BHG. TAN SRI ABD. GHAFAR BIN MAHMUD
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
Pendidikan merupakan perkara utama yang berupaya mempengaruhi pembangunan diri individu dan menyediakan pelbagai peluang dalam mencorakkan kehidupan masa depan. Pendidikan juga mendasari proses pembangunan modal insan yang berinovatif dan berkemahiran tinggi yang merupakan faktor kritikal bagi menyokong pertumbuhan sosial, budaya dan ekonomi sesebuah negara.

Komitmen dan usaha mempertingkat kualiti pendidikan merupakan sebahagian daripada pelaburan utama Kementerian ke arah menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia pada masa depan. Sehubungan itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi mengenal pasti cabaran dan jurang dalam sistem pendidikan kebangsaan, dan seterusnya merangka kaedah penyelesaian terbaik bagi menanganinya.

Bersandarkan input ini, Kementerian telah berjaya menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang menggariskan strategi dan inisiatif bagi mengupayakan peningkatan kualiti sistem pendidikan kebangsaan.

Petikan dari Laporan Awal PPPM 2013 - 2025

PELANCARAN BULETIN GM1M DI ASTRO AWANI

GM1M Online menyiarkan Liputan Berita Astro Awani mengenai Himpunan Guru Muda 1 Malaysia di Zon Tengah dan Pelancaran Buletin Guru Muda GM1M Online.

Tarikh himpunan : 26 Januari 2013
Tempat : SMK Sungai Besar, Sabak Bernam (Selangor) 

Untuk berita lanjut, sila layari : 
http://www.astroawani.com/news/show/guru-muda-berperanan-lonjak-kualiti-pendidikan-5238

LAPORAN AKHBAR : HIMPUNAN GM1M ZON TENGAH

GM1M Online menyiarkan beberapa laporan akhbar yang memberi liputan meluas mengenai Himpunan Guru Muda 1 Malaysia di Zon Tengah.

Tarikh himpunan : 26 Januari 2013
Tempat : SMK Sungai Besar, Sabak Bernam (Selangor) 


Untuk berita lanjut, sila layari
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130127/dn_03/Guru-muda-lonjak-kualiti-transformasi-pendidikan---TPM

Untuk berita lanjut, sila layari : 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Gurudimintatingkatkreativiti_inovatif/Article/

PERSIAPAN DI SARAWAK LANCAR

KETUA PENGGERAK SARAWAK TEMUI WAKIL KPM 
Lokasi : Maharaja Cendol Kampung Nangka, Sibu
6.53 pm

SARAWAK : PERSIAPAN GM1M menghadapi Himpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) Zon Sarawak berjalan lancar.

Ketua Penggerak GM1M Sarawak, Dayang Noraifa Awang Azid semasa bertemu wakil KPM dan rakan-rakan penggerak di Sibu sebentar tadi memberitahu pihaknya sudah menyiapkan montaj perasmian dan akan ditayangkan selepas majlis perasmian di peringkat zon nanti.

"Kami sudah bersedia menerima kunjungan 4,000 guru muda dari seluruh Sarawak dengan pelbagai aktiviti menarik di himpunan itu nanti. Kami juga akan mengadakan peraduan sebagai daya tarikan ke gerai pameran utama GM1M di SMK Sacred Heart, Sibu pada 29 Januari 2013," katanya kepada GM1M Online.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh Encik Saiful Affendi dari Kementerian Pelajaran Malaysia, Encik Khairul Nizam dari JPN Johor, Cikgu Alias Sogok (Ketua Penggerak GM1M Johor) dan Cikgu Husmira Hussin (Ketua Penggerak GM1M Kelantan).

Dayang Noraifa berbincang bersama Encik Khairul dan 
Encik Saiful di Maharaja Cendol, Sibu.

VIDEO PELANCARAN BULETIN GM1M ONLINE DI YOUTUBE

SALAM KASIH GURU MUDA, 
TERIMA KASIH TPM KESAYANGAN KITA.

GM1M Online mengucapkan TERIMA KASIH kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas kesudian beliau merasmikan pelancaran Buletin Guru Muda - GM1M Online di SMK Sungai Besar, Sabak Bernam pada 26 Januari 2013 lalu.

IKAN PATIN SESAT DI SAWAH PADI
BERENANG-RENANG BERSAMA GELAMA
BULETIN GURU MUDA SUDAH DIRASMI
GM1M ONLINE DIBERI NAMA

Saksikan video yang merakamkan detik-detik bersejarah 
Pelancaran Buletin Guru Muda - GM1M Online.
Layari laman sesawang : gm1monline.blogspot.com

VIDEO RAKAMAN PELANCARAN GM1M ONLINE

Saturday, 26 January 2013

LIMA HASRAT PPPM

Terdapat lima hasil yang menjadi hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan ini secara menyeluruh, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. 

Hasil ini selaras dengan aspirasi yang diutarakan semasa Dialog Nasional, dan setanding dengan hasil yang dicapai oleh sIstem pendidikan berprestasi tinggi. Selain hasil keseluruhan sistem ini, pelan ini juga akan terus menggunakan visi Falsafah Pendidikan Kebangsaan, iaitu pendidikan seimbang sebagai aspirasi bagi setiapmurid. Kombinasi pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, dan identiti nasional yang kukuh adalah penting dalam mempersiapkan murid untuk berjaya dan berkembang maju dalam dunia global yang semakin mencabar.

Petikan dari Laporan Awal PPPM 2013 - 2025

GAMBARAN KESELURUHAN PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN

Pembaharuan pendidikan merupakan agenda penting setiap negara, dan Malaysia perlu mengutamakan pembangunan berterusan sistem pendidikan supaya dapat bersaing pada peringkat global.

Kajian menunjukkan pada keseluruhannya Malaysia telah mencapai kejayaan dalam tempoh 50 tahun melalui peluasan akses kepada pendidikan dan peningkatan standard terutama dari segi literasi dalam kalangan kumpulan dewasa dan pelibatan murid di sekolah. Walau bagaimanapun, apabila dilihat dengan lebih mendalam, gambarannya lebih kompleks.

Perbezaan prestasi dan keupayaan di seluruh negeri, daerah dan sekolah wujud pada hari ini. Walaupun terdapat kelompok-kelompok sekolah dan daerah yang cemerlang di seluruh negara, namun masih wujud jurang prestasi yang perlu ditangani.

# Petikan dari Laporan Awal PPPM 2013 - 2025

LENSA GM1M ONLINE 3...

Himpunan Guru Muda 1 Malaysia Zon Tengah 
di SMK Sungai Besar, Sabak Bernam

Lagi Foto Menarik dari Lensa GM1M Online.











LENSA GM1M ONLINE 2...

GM1M Online membawakan lagi foto-foto menarik sepanjang Himpunan Guru Muda 1 Malaysia Zon Tengah di SMK Sungai Besar, Sabak Bernam.


Tiga Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dari SMK Sungai Besar sedang menjalankan 
aktiviti mendapatkan tandatangan pengunjung Himpunan Guru Muda 1 Malaysia Zon Tengah.
Kelihatan di gambar dari kiri ialah Cikgu Husmira (Ketua GM1M Kelantan), Cikgu Hamka (Timbalan Ketua GM1M Kedah), Cikgu Razeff (Ketua GM1M Kedah), Cikgu Alias (Ketua GM1M Johor) dan Encik Khairul (Ketua Unit SPM Johor).
  
Inovasi dari JPN Perak

TPM bersalaman dengan pengunjung Himpunan GM1M Zon Tengah.

Lawatan ke gerai pameran..

RADIO AMATUR.. Tan Sri Muhyiddin sedang berbual bicara dengan seorang guru dari Kedah melalui radio amatur yang diuruskan oleh Sektor Pengurusan Maklumat JPN Selangor. 

Lawatan ke gerai pameran..


TPM RASMI BULETIN GURU MUDA (GM1M Online)

BULETIN GURU MUDA 
gm1monline.blogspot.com

LAPORAN LANGSUNG HIMPUNAN GURU MUDA 1 MALAYSIA ZON TENGAH
DARI SMK SUNGAI BESAR, SABAK BERNAM
26 Januari 2013, 1.20 PM

SELANGOR : Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi telah melancarkan Buletin Guru Muda atau lebih dikenali sebagai GM1M Online pada Himpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) Zon Tengah di SMK Sungai Besar, Sabak Bernam. 

KETUA GM1M Selangor menyampaikan cenderahati kepada Tan Sri Muhyiddin.


Terdahulu dalam ucapannya perasmiannya, Tan Sri Muhyiddin menyatakan bahawa GM1M Online boleh dijadikan medan untuk guru muda menulis dan mencurahkan pelbagai bentuk idea yang boleh dikongsikan bersama di internet. 

"Hari ini, saya dimaklumkan saya akan merasmikan Buletin Guru Muda (GM1M Online) dan tadi semasa mengunjungi kiosk GM1M saya telah ditunjukkan dengan buletin itu yang diusahakan oleh Sekretariat Guru Muda untuk dijadikan satu lagi media baru golongan guru muda di seluruh negara," katanya lagi.

Menurutnya lagi, kalau dulu saya melancarkan Facebook GM1M dan difahamkan sudah ramai yang 'LIKE' dan menggunakan media itu untuk berbincang dan mencetuskan pendapat. Sekarang kita lancarkan Buletin Guru Muda yang akan memaparkan berita dan bahan mengenai kejayaan dan aktiviti guru muda.

"Kita sudah pelbagaikan. Manfaatkan. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kumpulan rakan penggerak yang telah berjaya menghasilkan buletin ini," tambahnya lagi.

GM1M Online adalah sebuah penerbitan rasmi yang diterbitkan secara online dan sentiasa dikemaskini dari masa ke semasa. Buletin ini digerakkan oleh Sekretariat Guru Muda Kebangsaan dan membuka peluang kepada semua guru muda dari segenap peringkat di seluruh negara untuk menyumbangkan bahan kepada buletin ini.

Panduan mengenai penghantaran berita boleh diperolehi menerusi Facebook GM1M.

ULAR SERIKAN HIMPUNAN DI SABAK BERNAM

GURU MUDA BERPELUANG MERASAI PELUKAN LEMBUT ULAR SAWA 

HIMPUNAN GM1M ZON TENGAH : Pameran Sektor Psikologi dan Kaunseling membawa dua ekor ular sawa jinak untuk bermanja-manja dengan guru muda dan pengunjung di sini. Pelukan dan belitan ular tersebut nyata mendapat sambutan ramai yang ingin merasai sendiri pengalaman baru itu.

Jangan lepaskan peluang ini.. 

TAK GELI.. memegang ular memerlukan keberanian.

TENANG sahaja.. 

GURU Muda tidak takut dengan ular..

KERAJAAN BERI GURU MUDA BANYAK PELUANG


DATUK SERI NOH OMAR MINTA GURU BERSYUKUR DENGAN USAHA KERAJAAN

LAPORAN LANGSUNG HIMPUNAN GURU MUDA 1 MALAYSIA ZON TENGAH
DARI SMK SUNGAI BESAR, SABAK BERNAM
26 Januari 2013, 12.38 Pm

SELANGOR : Menteri Pertanian Dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pusat yang banyak memberi ruang kepada Guru Muda 1 Malaysia dan menjaga kebajikan golongan guru sekarang berbanding masa dahulu.

"Saya juga melihat guru muda hari ini lebih kreatif berbanding zaman semasa saya menjadi guru dalam tahun 80-an," katanya lagi.

Datuk Seri Noh menambah, perkembangan yang positif ini ditambah lagi dengan keprihatinan kerajaan sekarang yang sangat menjaga kebajikan guru sama ada dari kenaikan pangkat, penyelarasan gaji yang lebih baik serta menyediakan prasarana pendidikan yang terbaik.

Oleh yang demikian, saya menyeru semua guru muda khususnya di Selangor ini agar mengambil peluang-peluang yang diberikan oleh kerajaan pusat yang sentiasa menjaga kebajikan guru ke arah melonjakkan lagi tarif pendidikan kita di mata dunia.

LENSA GM1M ONLINE...

GM1M Online membawakan detik-detik menarik sepanjang Himpunan Guru Muda 1 Malaysia Zon Tengah di SMK Sungai Besar, Sabak Bernam.

TAN Sri Muhyiddin gembira melihat Buletin Guru Muda - GM1M Online sambil menerima penerangan mengenai penerbitan baru Sekretariat GM1M dari Timbalan Ketua Penggerak GM1M Selangor, Cikgu Narimah Ahmad Laili semasa kunjungan beliau ke kiosk GM1M sebentar tadi. 

MENANTI ketibaan TPM..

KIOSK GM1M jadi tumpuan...

SELAMAT DATANG TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN

LAPORAN LANGSUNG HIMPUNAN GURU MUDA 1 MALAYSIA ZON TENGAH
DARI SMK SUNGAI BESAR, SABAK BERNAM
26 Januari 2013, 11.00 am

SELANGOR : Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba untuk merasmikan Himpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) Zon Tengah yang diadakan di SMK Sungai Besar, Sabak Bernam. Himpunan kali ketiga ini menghimpunkan lebih 5,000 guru muda dari Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Perak Selatan.

SELAMAT DATANG... ketibaan Tan Sri Muhyiddin Yassin disambut 
oleh penggerak-penggerak utama Guru Muda 1 Malaysia Zon Tengah.

Ketibaan Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia itu telah disambut oleh Ketua Penggerak GM1M Selangor, Cikgu Rahmat Sholihin Mokhtar bersama rakan-rakan ketua penggerak dari Perak Selatan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Turut sama mengiringi Timbalan Perdana Menteri ke himpunan ini ialah Menteri Pertanian Dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia Dato’ Dr. Rosli Mohamed.