Wednesday, 16 January 2013

JOHOR JADI PERINTIS HIMPUNAN GURU MUDA

LEBIH 4000 Guru Muda Zon Selatan Berhimpun Di Johor Bahru
Sabtu, 13 Oktober 2012
Oleh Cikgu Shahizar Md Salleh - SMK Taman Universiti 2, Johor Bahru

HIMPUNAN Guru Muda Zon Selatan yang julung kali diadakan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah memilih Negeri Johor sebagai tapak perintis yang menemukan lebih 4,000 guru muda dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Mereka berhimpun di Pusat Kokurikulum Tasek Utara, Johor Bahru.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohammad Yassin merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Turut hadir menyerikan perhimpunan besar itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Haji Abdul Ghani Othman, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri  Abd Ghafar Mahmud dan Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Hasidin Haji Zaini.


Seramai 10 Penggerak Utama GM1M (Guru Muda 1 Malaysia) Johor yang diketuai oleh Cikgu Alias Sogok telah diberi tanggungjawab untuk menyambut dan seterusnya melayan kunjungan TPM dan semua tetamu yang hadir sejak dari mula hingga ke penghujung acara. Konsep santai dengan matlamat utama mendekati kumpulan guru muda yang hadir telah memberi banyak ruang kepada guru generasi Y beramah mesra dengan pemimpin tertinggi negara, negeri dan KPM. 


Suasana himpunan sejak awal pagi lagi cukup meriah dan 'happening'. Pihak Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) yang menjadi tuan rumah acara ulung ini telah menyediakan acara menarik seperti pertandingan paint ball, aktiviti berkayak, memanjat dinding, tunjuk ajar seni tarian dan nyanyian, pameran kerjaya dan inovasi, pertandingan sepak raga bulatan, ping pong dan permainan tradisional.


Selain itu, semua yang hadir juga disajikan dengan Forum Guru Muda - Saya Nak Jadi Cikgu yang dikendalikan sepenuhnya oleh kumpulan guru muda sendiri. Kemeriahan pagi itu dihangatkan lagi dengan celoteh lima juruhebah hebat yang mengulas acara dari masa ke semasa.  


Himpunan Guru Muda Zon Selatan juga diserikan dengan Pelancaran Facebook Guru Muda 1 Malaysia (FB GM1M) oleh Timbalan Perdana Menteri. Majlis diakhir dengan IKRAR GM1M yang diketuai bacaannya oleh Cikgu Julnizam Janisan dari SMK Taman Desa Skudai, Johor Bahru.



Penggerak Utama GM1M Johor bergambar kenangan 
bersama Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud.

Ketua Penggerak GM1M Johor, Cikgu Alias Sogok 
menunjukkan Facebook Guru Muda 1 Malaysia kepada 
Timbalan Perdana Menteri semasa kunjungan beliau ke Kiosk Sekretariat GM1M.

No comments:

Post a Comment