Tuesday, 29 January 2013

TAN SRI MUHYIDDIN TEMUI GURU MUDA PEDALAMAN

LAPORAN LANGSUNG HIMPUNAN GURU MUDA 1 MALAYSIA ZON SARAWAK
DARI SMK SACRED HEART, SIBU, 29 Januari 2013 : 2.30 PM

SIBU, SARAWAK : Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah tiba di SMK Sacred Heart, Sibu bersama Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud tepat jam 2.30 petang tadi. Turut sama hadir ialah Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Pengarah Pelajaran Negeri Sarawak, Encik Abdillah Adam.


Tan Sri Muhyiddin menerima penerangan mengenai Stesen Maya 
dari Ketua Penggerak GM1M Sarawak, Cikgu Dayang Noraifa Awang Azid.

Himpunan GM1M Zon Sarawak ini akan menemukan Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia dengan lebih 3,000 guru muda di negeri ini yang kebanyakannya didatangkan khas dari daerah pedalaman. 

Perhimpunan guru muda ini menunjukkan keprihatinan pihak KPM dan kerajaan terhadap kebajikan guru muda yang sanggup berkorban masa dan tenaga untuk mencurah bakti kepada rakyat Malaysia di kawasan perkampungan di pedalaman, khususnya di negeri bumi kenyalang ini.

Sebagai menghargai pengorbanan itu, satu sesi pertemuan telah disusun antara Timbalan Perdana Menteri bersama 31 orang GM1M  yang terpilih mewakili seluruh guru muda di negeri Sarawak. 

Pertemuan itu diadakan di Bilik Wawasan SMK Sacred Heart sementara menantikan Majlis Perasmian Himpunan Guru Muda 1 Malaysia Zon Sarawak. Ini adalah penghargaan kepada golongan guru muda dan kesempatan ini akan memberi peluang kepada wakil guru muda untuk mengutarakan beberapa soalan secara santai kepada Tan Sri Muhyiddin.

Ketibaan Tan Sri Muhyiddin telah disambut oleh Ketua Penggerak GM1M Sarawak, Cikgu Dayang Noraifa Awang Azid. Himpunan guru muda ini adalah yang keempat selepas tiga himpunan peringkat zon di Selangor, Kelantan dan Johor.

No comments:

Post a Comment