TPM BUKA RUANG
GURU MUDA BERI IDEA SELESAI ISU PERPINDAHAN GURU
Oleh Cikgu Alias Sogok - Ketua GM1M Johor
KELANTAN : Himpunan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) Zon Timur yang diadakan pada hari terakhir sesi persekolahan tahun lalu (8 November 2012) di SMK Padang Enggang, Kota Bharu memberi ruang kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengupas mengenai isu perpindahan guru ke Zon Timur, khususnya ke negeri Cik Siti Wan Kembang.
Tan Sri Muhyiddin mencuba permainan gasing yang
digemari oleh masyarakat Pantai Timur.
Dalam ucapan perasmiannya, Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran menyatakan pihaknya sedar dan prihatin dengan isu permohonan pindah dari kalangan guru, khususnya guru muda di luar Kelantan yang mahu berkhidmat di negeri asal mereka.
"Untuk permohonan yang dibuka baru-baru ini, kita menerima lebih 2,800 permohonan untuk masuk berkhidmat ke Kelantan berbanding hanya sekitar 130 yang memohon keluar dari negeri ini. Ini fakta dan pihak kementerian sedang mencari idea bagaimana nak selesaikan perkara ini. Kalau ada idea sila berikan kepada kami," katanya sambil memberi ruang kepada semua guru muda yang hadir.
"Kalau ada yang boleh beri idea yang dapat menyelesaikan masalah ini sekarang, saya beri RM1000.. ada tak guru muda yang ada di depan saya.. berikan cara bagaimana kita dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," seloroh Timbalan Perdana Menteri sambil mencabar GM1M mencurahkan kaedah yang idealistik kepada pihaknya.
Tan Sri Muhyiddin seterusnya menegaskan sesungguhnya pihak kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa prihatin dengan kebajikan guru agar profesion ini dilonjakkan dan dipandang tinggi oleh masyarakat. Sehingga kini kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib telah banyak mengumumkan pelbagai insentif khas kepada guru yang kadang-kadang dicemburui oleh kumpulan kerajaan lain.
Sehubungan dengan itu, pihaknya menyeru semua guru muda yang hadir agar sentiasa membantu kerajaan meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini terutama dalam usaha mentranformasikan kembali pendidikan ke landasan terbaik seiring dengan perkembangan dunia baru yang pantas berkembang sekarang ini.
Turut hadir menyerikan himpunan itu ialah Datuk Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri dan Datuk Dr Awang Adek Hussin, Timbalan Menteri Kewangan Malaysia.
Seramai 10 GM1M dari negeri Johor dan 5 GM1M lagi dari Zon Tengah (Kuala Lumpur/Putrajaya) hadir sama membantu rakan-rakan GM1M dari Zon Timur memastikan perjalanan himpunan berjalan lancar dan memberi sesuatu yang bermakna kepada semua pengunjung.
No comments:
Post a Comment