MOHD ZURAIDI JUGA TERIMA ANUGERAH PERDANA BELIA NEGARA 2012
Oleh Cikgu Rahmat Sholihin Mokhtar - SK Pulau Indah, Pelabuhan Klang
SELANGOR : Berpegang kepada jati diri yang berani mengambil risiko mencuba sesuatu yang baru dan sentiasa bersikap terbuka menjadi pemangkin kejayaan kepada Cikgu Mohd Zuraidi Komari dari SK Pulau Indah (SKPI) menerima Anugerah Belia Asean tahun lepas. Pengiktirafan peringkat negara-negara Asean itu diterimanya di Bangkok, Thailand.
Cikgu Mohd Zuraidi juga diiktiraf hebat dan cemerlang dengan Anugerah Perdana Belia Negara 2012 Peringkat Negeri Selangor dan Kebangsaan.
Guru muda kelahiran Kuala Selangor ini juga aktif menyumbang tenaga dalam masyarakat menerusi pasukan RELA, Askar Wataniah, surau setempat dan persatuan belia. Sifatnya yang peramah dan disenangi oleh masyarakat itu dapat dilihat menerusi peranannya dalam kepimpinan setempat. Beliau kini adalah Ketua Perhubungan RELA Mukim (KPRM), Imam Muda di Surau Al-Qayyum, pemimpin berbakat dalam Rejimen 502 Askar Wataniah dan Pengerusi Persatuan Belia Pulau Indah di bawah Kementerian Belia Dan Sukan.
Hasil pengorbanan masa yang banyak dalam aktiviti belia dan masyarakat, guru muda yang lebih dikenali sebagai Kapten RELA Mohd Zuraidi itu melengkapkan kejayaan tahun 2012 dengan Anugerah Pingat Khidmat Cemerlang RELA (Peringkat Kebangsaan) yang diterimanya sempena Sambutan Hari Rela Malaysia Ke-41, baru-baru ini.
Kesibukan beliau dalam masyarakat tidak melemahkan semangatnya untuk menambah ilmu khususnya dalam bidang pendidikan. Beliau kini sedang menyambung pengajian peringkat sarjana muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang bimbingan kaunseling sejak 2011. Sikap yang tidak mudah mengalah menjadi pendorong kepadanya yang menanam azam untuk memegang segulung ijazah selain Diploma Perguruan yang diterimanya dari Maktab Perguruan Batu Rakit, Kuala Terengganu (2000 - 2002).
Selain itu, guru muda yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2007 itu juga aktif sebagai pengadil bola sepak dan pernah berkhidmat dalam Liga Super dan Liga Perdana di bawah penganjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Kejayaan yang diraih oleh Cikgu Mohd Zuraidi adalah contoh kecemerlangan Guru Muda 1 Malaysia (GM1M) yang wajar diteladani selain kita cemerlang mendidik anak bangsa di sekolah.
No comments:
Post a Comment