Tuesday 22 January 2013

PENDIDIKAN KHAS DEKATI INSAN ISTIMEWA (RENCANA)

Oleh Cikgu Ahmad Farizan Bahaman - SMK Kota Gelanggi 2, Jerantut

PENDIDIKAN Khas menurut Akta Pendidikan 1996 bermaksud pendidikan yang disediakan untuk memenuhi keperluan murid-murid khas. Antara kategori pelajar pendidikan khas di Malaysia adalah insan yang bermasalah penglihatan, pendengaran, pembelajaran, pintar cerdas dan juga pemulihan.

Akibat daripada ketidakupayaan mereka, maka golongan ini memerlukan pendidikan yang diubahsuai bagi memudahkan mereka melibatkan diri dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Untuk memenuhi keperluan individu, P&P yang dijalankan perlu  fleksibel selaras dengan Peraturan-peraturan Pendidikan (Pendidikan Khas) 1997 yang menyatakan bahawa guru boleh mengubah suai kaedah atau teknik pengajaran atau pembelajaran, masa bagi aktiviti dan susunan aktiviti mata pelajaran dan bahan bantu mengajar bagi mencapai tujuan dan matlamat pendidikan khas.

Pelajar pendidikan khas juga merupakan manusia yang boleh berjaya dengan syarat mereka dibimbing dengan baik oleh pengajarnya. Semua pelajar mempunyai kesamaan dari segi kepentingan pendidikan dan pada masa yang sama, kaedah menyampaikan pengajaran dan gaya pembelajaran adalah pelbagai mengikut ciri unik individu. Maka, ternyatalah bahawa pelajar pendidikan khas bermasalah pembelajaran memerlukan pengajaran yang berpusatkan kepada keperluan mereka.

Maka kajian ini dibuat adalah untuk melihat sejauh mana amalan dan persepsi guru pendidikan khas bermasalah pembelajaran terhadap strategi pengajaran yang berpusatkan pelajar terhadap pelajar bermasalah pembelajaran.

Sebagai guru pendidikan khas kita perlu mempunyai ilmu yang lengkap dan mengetahui selok belok pendidikan khas yang kita ceburi. Kita perlu melengkapkan diri kita dengan segala ilmu yang dapat membantu kita dalam pengajaran dan pembelajaran. Kita juga perlu mempunyai maklumat berkenaan kategori lain dalam bidang pendidikan khas supaya kita tidak terkial-kial menjawab persoalan yang dikemukan oleh orang ramai.

Perlu diingat bahawa guru khas bukan sahaja sebagai guru yang mengajar di sekolah tetapi mereka juga merupakan pakar rujuk oleh ibu bapa atau guru-guru lain berkenaan pelajar berkeperluan khas.

Guru pendidikan khas haruslah lebih kreatif dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan pelajar-pelajar dapat memberikan tumpuan sepenuhnya ketika berada di dalam kelas. Guru-guru perlu pandai untuk mencari kelemahan serta kekuatan pelajar seterusnya menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran yang sesuai. Guru-guru juga perlu mempunyai sikap yang baik terhadap pengajarannya dan perlu mewujudkan hubungan yang baik bersama pelajar.

Faktor kejayaan program ini terletak pada kebijaksanaan guru dalam mengendalikannya selain faktor ibu bapa, guru biasa, pihak pengurusan KPM atau pun sekolah. Guru perlu bijak untuk memilih strategi dan kaedah pengajaran yang sesuai untuk pelajar mereka yang nyata cukup istimewa.

# Penulis ialah Ketua Penggerak GM1M Pahang

No comments:

Post a Comment